fbpx
Arul Kumar meninjau kerja-kerja menurap semula jalan menerusi Pelaksanaan Inisiatif Penyelenggaraan Perumahan Swasta (Strata) di Pangsapuri Cempaka 2 di sini, hari ini. Foto oleh NUR SHARIEZA ISMAIL/KOSMO!

Culas bayar caj penyelenggaraan, bangunan strata berdepan risiko

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Kegagalan pemilik pangsapuri membayar caj penyelenggaraan kini menjadi duri dalam daging kepada pengurusan bangunan strata di Negeri Sembilan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar, menegaskan bahawa sikap culas pemilik unit bukan sekadar menjejaskan kewangan Badan Pengurusan Bersama (JMB), malah mengancam keselamatan dan kualiti kehidupan penduduk.

“Apabila sesetengah pemilik enggan atau lewat membayar, ia melemahkan JMB sehingga kerja penyelenggaraan asas, termasuk keselamatan, kebersihan, dan tindak balas terhadap aduan, terpaksa tergendala.

“Ini jelas tidak adil kepada mereka yang menunaikan tanggungjawab, namun terpaksa berkongsi kemudahan yang sama dengan pihak yang culas,” katanya ketika meninjau kerja menurap semula jalan di Pangsapuri Cempaka 2 di sini hari ini, salah satu daripada sembilan lokasi yang menerima Inisiatif Penyelenggaraan Perumahan Swasta (Strata) dengan peruntukan RM2 juta melalui Belanjawan Negeri Sembilan 2025.

Menurut Arul Kumar, kegagalan JMB semakin menonjol apabila kutipan bayaran tidak mencukupi, menjadikan bangunan berisiko terabai dan kerja penyelenggaraan tertangguh.

“Dalam situasi ini, JMB terpaksa menggunakan saluran undang-undang, termasuk membawa kes ke Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata, bagi memastikan pengurusan kewangan stabil. Sebaliknya, apabila kutipan baik, kerja penyelenggaraan lancar,” katanya.

Beliau menambah, pihak berkuasa tempatan juga boleh mengambil alih pengurusan sementara dengan melantik syarikat pengurusan selama setahun sekiranya JMB gagal berfungsi, sebelum kuasa dikembalikan kepada JMB atau Perbadanan Pengurusan.

“Di Nilai sahaja, lebih 10 kawasan di bawah Majlis Bandaraya Seremban terpaksa menggunakan langkah ini. Saya berharap pemilik unit sedar bahawa tanggungjawab kewangan mereka adalah kunci kepada komuniti strata yang selamat, terurus, dan bebas daripada kesan tunggakan penyelenggaraan,” tegas beliau.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN