SEJAK ditubuhkan pada 30 tahun lalu, Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas) dianggap sebagai satu kebanggaan negara kerana menjadi pengeluar motosikal nasional pertama di Malaysia.
Kriss merupakan model paling ikonik daripada Modenas dan menjadi pilihan ramai. Kini, Modenas terus melakar sejarah tersendiri dengan melancarkan model Z15GT untuk segmen supermoped.
Ia menjadi supermoped pertama yang dibangunkan sepenuhnya oleh anak tempatan.
Pembangunan Z15GT merupakan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalaman yang diketuai sepenuhnya oleh rakyat Malaysia disokong oleh kerjasama teknikal Modenas dengan Kawasaki Motors Corporation (KMC).
Dibangunkan selama tiga tahun lima bulan oleh pasukan berdedikasi terdiri daripada 31 jurutera, pereka dan juruteknik tempatan, Z15GT meletakkan Malaysia setanding dengan jenama global terkemuka dalam segmen supermoped 150cc yang amat kompetitif.
Reka bentuk Z15GT diinspirasikan oleh falsafah Sugomi Kawasaki iaitu agresif, berani dan berkuasa.
Selain itu, reka bentuk motosikal ini turut menampilkan elemen rekaan berasaskan ikan arowana, simbol kekuatan dan kebanggaan dalam budaya Malaysia.
Elemen itu dapat dilihat pada reka bentuk dari bahagian hadapan sehingga belakang motosikal tersebut.
Mungkin bagi sesetengah orang yang kali pertama melihat reka bentuk Z15GT akan tertarik dengannya.
Setiap orang mempunyai interpretasi yang berbeza terhadap kecantikan. Bagi penulis, reka bentuk Z15GT ini setanding dengan model-model motosikal lain di dalam segmennya.

Dari segi spesifikasi, motosikal ini didatangkan dengan enjin satu silinder 149.5cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 16.7hp pada 9,500rpm dan tork maksimum 13.5Nm pada 7,500rpm.
Kuasa untuk motosikal ini disalurkan ke tayar belakang menerusi transmisi manual enam kelajuan.
Enjin motosikal ini juga berspesifikasi Euro-4 yang cekap penggunaan bahan api.
Motosikal ini menggunakan sistem kunci pintar dengan penghidup elektrik.
Selain itu, Z15GT dilengkapi dengan sistem brek antikunci (ABS) dan memberikan kuasa membrek yang lancar serta mudah dikawal.
Namun begitu, sistem ABS ini tersedia untuk brek hadapan sahaja.
Motosikal ini didatangkan dengan rim 17 inci dan saiz tayar 90/80 pada bahagian hadapan serta 120/70 pada bahagian belakang yang memberikan kestabilan yang baik di atas permukaan jalan.
Untuk suspensi hadapan, motosikal ini ini menggunakan fork teleskopik dan pada bahagian belakang dilengkapi dengan suspensi penyerapan hentak tunggal ataupun monoshock yang menawarkan kestabilan hentakan.
Ketinggian tempat duduk motosikal ini adalah 780mm dan beratnya hanya 128kg menjadikannya mudah untuk dikendalikan oleh penunggang.
Motosikal ini juga dilengkapi tangki isian petrol dengan kapasiti 5.7 liter yang membolehkan perjalanan jarak yang jauh untuk satu pengisian penuh minyak.
Ciri lain yang ada pada motosikal ini adalah ia disertakan dengan lampu hadapan LED, paparan meter digital LCD dan slot pengecasan USB Type-A.
Secara keseluruhan, Z15GT adalah sebuah motosikal yang boleh menjadi ‘list’ untuk dimiliki kerana dikategorikan sebagai antara motosikal terbaik dan berkuasa di dalam kelasnya.
Selain itu, kos penyelenggaraan untuk motosikal ini juga tidak terlalu membebankan pengguna dan harga yang ditawarkan juga lebih murah berbanding pesaingnya.
Z15GT hadir dalam tiga warna iaitu Graphite Grey, Nardo Grey dan Rosso Red yang ditawarkan pada harga RM8,288.














