COLUMBUS, OHIO – Seorang wanita yang menternak dan menjaga berpuluh-puluh ekor rusa lebih sedekad lalu, meninggal dunia selepas diserang seekor haiwan itu di kandang rumahnya di negeri Ohio, lapor akhbar Daily Star.
Kejadian berlaku di Stewartsville, daerah Belmont pada 15 November lalu.
Jodi Prodger, 64, dilaporkan memulihkan berpuluh-puluh ekor rusa sejak 12 tahun lalu sebelum melepaskan semula haiwan itu ke habitat liar.
Polis yang menerima laporan kejadian, dikerahkan ke rumah Prodger sebelum menemui beberapa ekor rusa mengamuk dan bersikap agresif di dalam kandang.
“Polis menemui Prodger bersama beberapa rusa ternakannya di dalam kandang itu. Masih belum jelas haiwan mana yang menyerang mangsa.
“Seekor rusa jantan ditembak mati kerana terlalu agresif dan menghalang polis untuk masuk ke dalam kandang,” kata polis.
Mayat Prodger dibawa ke bilik mayat untuk bedah siasat. – AGENSI















