KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan amaran banjir yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dan pihak berkuasa sepanjang musim tengkujuh yang bermula minggu lalu.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, orang ramai disaran supaya menyusun aktiviti dengan mengambil kira keadaan cuaca terutama di lokasi-lokasi yang berisiko bagi mengelak mereka terperangkap dalam banjir.
“Mesyuarat Jemaah Menteri telah berbincang mengenai persiapan banjir termasuk pelaksanaan Op Murni oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di lokasi berisiko,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Komuniti Lembah Pantai, hari ini.
Menurut beliau, bagi kawasan Lembah Pantai, tahap kesiapsiagaan menghadapi banjir pada tahun ini pada tahap lebih baik berbanding banjir besar 2021.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, banyak bot ditempatkan termasuk di semua balai polis untuk kegunaan pasukan penyelamat sekiranya berlaku kecemasan.
Katanya, pemantauan di beberapa lokasi hot spot termasuk Kampung Pasir turut dilakukan bagi melihat keadaan infrastruktur rumah pam yang telah diselenggara dengan baik.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan sebanyak 5,648 lokasi banjir telah dikenal pasti berada di bawah pemantauan ATM menerusi Op Murni. – KOSMO! ONLINE















