KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bersama wakil media memperkukuh hubungan melalui Program Kelab Sukan dan Rekreasi (KSR) Arena Series 2025 Piala Ketua Pesuruhjaya di IWK Eco Park, Pantai Dalam, di sini semalam.
Kejohanan yang berlangsung di gelanggang futsal dan bola jaring itu dirasmikan Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Datuk Norhaizam Muhammad mewakili Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dengan penyertaan 40 pasukan termasuk pasukan media.
Sementara itu, Azam dalam satu kenyataan menekankan bahawa hubungan antara SPRM dan media bukan sahaja terhad kepada urusan rasmi, malah diperkuat melalui aktiviti riadah yang dianjurkan KSR SPRM.
“Ini kali pertama media dijemput, khususnya daripada kelab media wartawan jenayah, untuk menyertai acara anjuran KSR SPRM,” katanya.
Presiden KSR SPRM, Mohd Fadzil Md Amin pula menyifatkan penyertaan media membuka ruang kerjasama lebih luas antara kedua-dua pihak pada masa akan datang.
“KSR sentiasa mengalu-alukan media untuk mengambil bahagian dalam aktiviti seterusnya,” katanya.
Dalam kejohanan futsal, pasukan Selangor A menampilkan persembahan mantap merangkul tempat pertama, diikuti Siasatan B sebagai naib johan, manakala Siasatan A mengisi tempat ketiga.
Acara bola jaring menyaksikan pasukan Bee-One-Derful menjuarai kejohanan, diikuti R1TBallerz di tempat kedua dan Spy F1 di tempat ketiga.
Setiap pasukan pemenang membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 bagi johan, RM2,000 (naib johan) dan RM1,000 (ketiga). – KOSMO! ONLINE















