GUA MUSANG – Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) mengarahkan semua pemaju dan pekebun sayur menghentikan sementara semua aktiviti kerja-kerja tanah bagi pembangunan di Lojing Highlands di sini berkuat kuasa hari ini.
Yang Dipertua MDGM, Mohd. Roshdi Ismail berkata, arahan itu berkuatkuasa sehingga 31 Disember ini mengambil kira faktor cuaca dan taburan hujan yang tinggi, risiko kejadian banjir lumpur serta tanah runtuh.
“Lojing merupakan kawasan yang terdedah kepada punca banjir lumpur dan tanah runtuh.
“Merujuk peruntuan Seksyen 70A (4) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) iaitu pihak berkuasa tempatan (PBT) berkuasa memberi arahan memberhentikan kerja-kerja tanah sekiranya aktiviti yang dilakukan boleh mengancam keselamatan nyawa dan harta benda,” katanya.
Mohd. Roshdi memberitahu, semua kawasan pembangunan yang terdedah kepada kerja-kerja tanah perlu mengambil langkah-langkah keselamatan cerun dan mematuhi semua arahan jabatan teknikal berkaitan.
Katanya, sebarang aktiviti kerja-kerja tanah dan lain-lain berkaitan perlu mendapat persetujuan kelulusan jabatan terlebih dahulu.- KOSMO! ONLINE















