fbpx
Azlan Johar kini menjadi pengerusi Yayasan Lagenda.

Bekas pemain negara disaran sambung belajar, teroka bidang baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LEGENDA skuad kebangsaan, Azlan Johar menyeru bekas pemain bola sepak yang pernah menyarung jersi Harimau Malaya untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah dengan kerjasama Yayasan Lagenda dan Spectrum International University College (SIUC).

Menurut Azlan inisiatif tersebut diyakini boleh membantu bekas pemain negara yang ‘hilang arah’ dan berminat memulakan kerjaya baharu seperti dalam bidang perniagaan selepas bersara dalam arena bola sepak profesional.

Kata Azlan, tawaran itu bukan sahaja untuk bekas pemain, tetapi jurulatih yang berminat juga boleh memohon untuk menyambung pengajian mengikut subjek yang ditawarkan dengan pembiayaan sepenuhnya oleh Yayasan Lagenda.

“Saya perlu jadi lebih cerdik supaya kerja saya lebih tersusun. Kalau saya boleh belajar, takkan mereka tak boleh. Selagi mampu, kita jangan berhenti menimba ilmu.

“Salah satu perkara menarik adalah pengalaman atau berapa lama tempoh mereka mewakili negara akan dikira sebagai jam kredit akademik. Selepas berkorban masa dahulu, kini ia berbaloi apabila perkara itu mampu membantu dalam melanjutkan pengajian,” katanya.

Mengulas lanjut, Azlan turut melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Pengurusan Perniagaan dan tidak menolak kemungkinan meneruskan langkah ke peringkat Doktor Falsafah (PhD).

Selain itu, bekas pemain kebangsaan yang kini menjadi Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM, Datuk Dollah Salleh dan bekas ketua jurulatih PDRM FC, P Maniam turut menyertai program sama.

Bagi Dollah Salleh, biarpun umur semakin meningkat, peluang yang dibuka ini harus diambil dan digunakan sebaik mungkin demi masa depan yang lebih baik.

“Mula-mula itu, saya pun cakap susahlah (sebab umur) tetapi lama-kelamaan nampak macam benda yang baik dan saya teruskan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN