KUALA NERUS – Hampir 1,000 penduduk Kampung Baru Pulau Redang dekat sini cemas berhadapan dengan banjir kilat ekoran fenomena air pasang besar setinggi 2.4 meter hari ini.
Hujan lebat berlarutan lebih 10 jam sejak malam tadi turut menjadi faktor banjir kilat yang julung kali berlaku dalam tempoh kira-kira empat tahun di perkampungan penduduk di pulau peranginan terkenal tersebut.
Seorang penduduk, Muhammad Arif Shafiee berkata, air laut mula melimpah ke kawasan perkampungan mereka mulai pukul 11 malam tadi.
“Banjir kilat kali ini lebih menyeluruh melibatkan hampir semua perkampungan kami. Biarpun paras banjir tidak tinggi kira-kira 0.2 meter, namun sebahagian kecil rumah penduduk tetap dimasuki air,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Muhammad Arif berkata, mereka berharap banjir kilat tersebut akan surut pada masa terdekat.
“Alhamdulillah paras banjir mula surut sedikit demi sedikit mulai pukul 11.30 pagi tadi,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Nerus berkata, setakat ini, lapan keluarga daripada 25 mangsa telah berpindah masuk ke pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Pulau Redang di sini. – KOSMO! ONLINE















