fbpx
Keadaan terkini banjir di Hatyai, hari ini.

[VIDEO] ‘Macam mana nak hubungi kedutaan? Tolong saya, susu anak nak habis dah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUKIT KAYU HITAM – “Saya di Siam Oriental Hotel, macam mana nak hubungi kedutaan? Ada anak kecil, susu dan lampin pakai buang nak habis dah.”

Demikian luah seorang pelancong, Mohammad Khairul Md. Zain yang terkandas di sebuah hotel di Hatyai bersama isteri serta dua anak kecil berusia setahun dan empat tahun.

Menurutnya, hotel penginapannya bagaikan pulau kerana sudah dikelilingi air.
“Saya kena jimat bateri telefon kerana bekalan elektrik tiada. Saya perlukan bantuan susu, lampin pakai buang serta makanan dan minuman,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Katanya, keadaan di sana masih hujan dan kenderaan diletakkan di tempat letak kereta luar hotel.

Sementara itu, seorang lagi pelancong yang turut terkandas, Wan Nur Asyikin Wan Azemim, 30-an, berkata, dia cemas kerana paras banjir semakin naik dengan beberapa kawasan jalan sudah mencecah paras pinggang.

“Saya datang bersama rakan-rakan pejabat dan bawa dua anak berusia sembilan bulan dan lima tahun. Kami semua terperangkap di hotel ini, memang tak boleh keluar.

“Keadaan memang cemas kerana sudah tiada bekalan makanan, manakala susu dan lampin pakai buang anak pun cukup sehingga esok,” katanya.

Ujarnya, ketika ini hujan masih lebat dan paras banjir semakin meningkat sehingga sudah naik ke tangga menuju ke lobi hotel.

“Saya rasa dalam satu anak tangga lagi, air boleh masuk lobi. Keadaan di sini teruk, tengok semua kawasan dah naik air, kereta banyak tenggelam.

“Cuaca diramalkan hujan lebat sampai esok. Saya dah cuba hubungi kedutaan menerusi emel, harap mereka dapat bantu segera,” ujarnya.

Tambahnya, ramai rakyat Malaysia menginap di hotel tersebut dan setakat ini masih belum menerima sebarang bantuan makanan.

“Kami ada tanya di kaunter hotel sama ada bantuan bot atau makanan, tetapi mereka pun tidak tahu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN