KLUANG – Perkhidmatan tren elektrik (ETS) yang menghubungkan Johor Bahru dengan Kuala Lumpur akan memulakan operasi pada 12 Disember depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkhidmatan ETS tersebut akan mula beroperasi sepenuhnya dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur kepada pengguna awam bermula 12 Disember ini selepas perasmian yang akan dilakukan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sehari sebelum itu.
Katanya, acara perasmian pengoperasian tersebut bakal dilakukan di Johor Bahru.
“Dengan pembukaan operasi itu, orang ramai boleh menggunakan perkhidmatan perjalanan dengan kekerapan satu jam sekali bersamaan 10 perjalanan pergi-balik dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur.
“Bagi penumpang yang meneruskan perjalanan ke Utara, mereka akan melakukan transit di Stesen Keretapi Kuala Lumpur yang turut melakukan kekerapan perjalanan sama.
“Pada masa ini, tiada perjalanan secara terus dari Johor Bahru ke Padang Besar kerana jaraknya yang terlalu panjang dan menghadkan jumlah perjalanan kepada hanya dua kali sehari,” katanya selepas merasmikan Pesta Rel Kluang di Stesen Laman Rel Mahkota, di sini semalam.
Ujarnya, dengan membahagikan jarak perjalanan kepada dua peringkat ini, ia membolehkan kekerapan perjalanan pergi dan balik dalam jumlah lebih banyak.
Katanya, projek pembinaan rel mega, Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART) di Johor Bahru sedang dipertimbangkan kerana belum berpuas hati dengan beberapa perkara.
“Pembinaannya tidak ditangguhkan kerana sememangnya menjadi tumpuan utama dan sedang diperhalusi serta berusaha membincangkan agar dapat disegerakan,” katanya.















