GEORGE TOWN – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh senada dengan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila mengulangi pendiriannya bahawa isu pendaftaran tujuh pemain warisan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak akan disembunyikan atau dilindungi sesiapa.
Beliau menegaskan kementerian sedang menunggu laporan penuh Siasatan Bebas Tun Md Raus Sharif sebelum tindakan diambil, namun beliau sekali lagi mengesahkan sokongannya terhadap ketegasan Perdana Menteri.
“Saya 100 peratus bersetuju dengan apa yang Perdana Menteri telah nyatakan. Apapun, siasatan oleh Tun Raus biarkan selesai dahulu. Apabila Tun Raus siap dengan laporan, saya akan menelitinya dan kita akan bertindak mengikut dapatan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam Sambutan 100 Tahun Persatuan Badminton Pulau Pinang (PBA) di SPICE, Bayan Baru, malam tadi.
Semalam, Anwar menegaskan Kabinet telah beberapa kali membincangkan isu tersebut dan tidak pernah berhasrat menutup sebarang kecuaian atau salah laku dalam proses pendaftaran pemain warisan.
“Kabinet mahu tahu apa sebenarnya berlaku dan bagaimana keadaan ini boleh dielakkan daripada berulang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hannah turut menekankan bahawa dana kerajaan dalam pembangunan bola sepak memberikan kerajaan hak moral untuk menuntut jawapan dan pembetulan.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, FIFA mendedahkan FAM serta tujuh pemain Harimau Malaya itu sebenarnya berdepan potensi hukuman lebih berat selepas badan induk bola sepak dunia berkenaan mengekalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib pada September lalu.
Rayuan FAM dan pemain terbabit ditolak pada 3 November, sekali gus mengekalkan hukuman di bawah Perkara 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen. -KOSMO! ONLINE















