BIARPUN turun selaku muka baharu di Sukan SEA Thailand, ia tidak melunturkan semangat atlet muda karate negara, K. Thevendran yang tekad memburu kilauan pingat pada penampilan sulungnya di temasya dwitahunan tersebut.
Meskipun bakal berdepan cabaran getir menentang pencabar utama dari Thailand, Thevendran tetap berkeyakinan tinggi mahu sekurang-kurangnya mencapai kedudukan podium dalam acara kumite lelaki bawah 55 kilogram.
Keyakinan itu hadir selepas kejayaannya menumbangkan lawan dari Thailand untuk meraih pingat emas pada Kejohanan Karate Asia Tenggara di Brunei, baru-baru ini.
“Ini kali pertama saya ke Sukan SEA, jadi perasaan tertekan dan gementar pasti ada. Tapi saya ada keyakinan boleh menang sebab sebelum ini saya berjaya menewaskan atlet Thailand di Brunei.
“Saya cukup yakin Thailand akan menurunkan atlet yang sama di Sukan SEA nanti. Apapun, saya sedar cabaran akan jadi sedikit berbeza kerana beraksi di tempat lawan.
“Saya perlu bekerja lebih keras dalam masa yang ada terutama perbaiki bahagian pertahanan dan juga serangan balas. Wakil Thailand itu memang bagus dalam serangan balas, jadi saya perlu bersedia sepenuhnya,” katanya.
Thevendran yang akan beraksi dalam acara kumite perseorangan dan berpasukan, juga sedar kelebihan pasti memihak kepada wakil tuan rumah jika pertarungan berlangsung sengit.
“Kalau berlaku situasi seri, kelebihan mungkin akan diberikan kepada mereka (Thailand). Sebab itu saya perlu pastikan kemenangan mutlak,” ujar Thevendran yang turut meramal tentangan sengit daripada wakil Vietnam. – KOSMO! ONLINE















