BEIJING – Seorang lelaki di China menjuarai pertandingan baring paling lama selepas menghabiskan masa selama 33 jam dan 35 minit dalam kedudukan tersebut, lapor laman berita Oddity Central.
Pertandingan yang menampilkan 240 peserta itu berlangsung di sebuah pusat beli-belah di bandar Baotao, wilayah Inner Mongolia.
Selain perlu berbaring di atas tilam, peserta dibenarkan berguling atau ‘menyibukkan diri’ dengan membaca buku, makan serta menggunakan telefon bimbit.
Mereka bagaimanapun dilarang bangun atau pergi ke tandas sepanjang pertandingan tersebut.
Hanya tiga peserta kekal dalam kedudukan tersebut pada masa 33 jam dan 9 minit sebelum salah seorang daripada mereka tersingkir.
Media tempatan melaporkan, pemenang dan peserta lain sanggup memakai lampin untuk mengelak daripada perlu menggunakan tandas.
Juara kejohanan itu menerima wang tunai sebanyak 3,000 yuan (RM1,700), manakala 2,000 yuan (RM1,200) bagi tempat kedua dan 1,000 yuan (RM580) untuk tempat ketiga. – AGENSI















