LONDON – Gergasi automotif Jerman, Audi melahirkan keyakinan pengalaman luas mereka dalam pelbagai disiplin sukan pemotoran berprestij seperti Le Mans, Rali Dakar dan Formula E akan menjadi ‘senjata’ utama untuk menggegar Formula Satu (F1) musim depan.
Audi yang akan mengambil alih pasukan Sauber, bakal melangkah ke kancah F1 serentak dengan pengenalan peraturan unit kuasa baharu terutama kuasa elektrik.
Bagi menghadapi cabaran teknikal, Audi percaya pengalaman mereka dalam membangunkan jentera hibrid dan elektrik di pentas lain akan memberikan kelebihan tambahan.
Pengerusi Lembaga Audi dan Sauber Motorsport, Gernot Doellner berkata, pengalaman di Kejohanan Endurance Dunia (WEC) terutamanya Le Mans adalah lebih relevan berbanding Formula E.
“Mungkin Le Mans lebih lagi daripada Formula E kerana pengurusan antara enjin pembakaran dalaman dan sistem elektrik di sana lebih setanding dengan peraturan baharu (F1).
“Apabila bercakap mengenai komponen, Formula E juga adalah medan pembelajaran yang cukup baik. Kami belajar untuk meningkatkan kecekapan dan melakukan pengurusan tenaga di sana,” kata Doellner.
Sebagai rekod, Audi pernah mendominasi saingan Le Mans 24 Jam dari tahun 2012 hingga 2014 dengan jentera hibrid Audi R18 e-tron quattro yang mempunyai kuasa elektrik sehingga 200kW.
Pandangan itu disokong oleh peneraju projek F1 Audi sejak Ogos 2024, Mattia Binotto yang mengagumi kepakaran dan kemahiran Audi dalam teknologi hibrid.
“Jika ada sesuatu yang membuatkan saya kagum sejak menyertai Audi, ia sudah tentu kepakaran dan kemahiran mereka dalam teknologi hibrid yang telah dibangunkan melalui Rali Dakar dan Formula E,” kata Binotto.
Baru-baru ini, Audi turut membuktikan kehebatan teknologi mereka apabila memenangi Rali Dakar 2024 menerusi jentera RS Q e-tron yang dijana kuasa elektrik 286kW. – AGENSI















