ISKANDAR PUTERI – Sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini menyentuh perasaan apabila Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi tidak dapat menahan sebak pada penghujung ucapannya.
Onn Hafiz mulai sebak apabila ucapannya menyentuh tentang amanah yang bakal dipertanggungjawabkan di hadapan Allah kelak.
Beliau sebelum itu memohon maaf kepada semua pegawai kanan kerajaan yang mungkin tersinggung, terluka atau terasa hati dengan tutur kata dan tindakannya sepanjang menunaikan amanah sebagai pemimpin.
Katanya, beliau tidak pernah marah apatah lagi membenci mana-mana individu sebaliknya, apa jua desakan atau tuntutan yang dilontarkan bukanlah bertujuan menyusahkan sesiapa, tetapi kerana beliau memikul amanah dan tanggungjawab besar untuk membela nasib 4 juta rakyat Johor.
“Wallahi, saya hanya mahukan yang terbaik untuk Bangsa Johor. Saya juga terbeban untuk menjawab kepada Allah SWT nanti. Setiap kali saya menerima aduan dan rintihan, sama ada melalui Whatsapp, komen di Facebook atau Instagram, video di TikTok, saya tidak boleh memejamkan mata, memekakkan telinga dan membutakan hati.
“Saya tidak tergamak untuk berkata “ini bukan bidang kuasa saya” kerana bagi rakyat di bawah sana, siapa lagi yang boleh mereka harapkan? Apa yang paling saya takuti adalah membayangkan hari di mana saya bersama semua yang berada di dalam Dewan ini akan berdiri di hadapan Allah SWT dan ditanya tentang amanah dan tanggungjawab kita sebagai pemimpin,” katanya sebak.
ADUN Machap itu berkata, akan tiba hari di mana segala pangkat, jawatan dan kedudukan yang kita miliki menjadi saksi terhadap setiap perbuatan kita.
“Tidak ada sesiapa pun dari kalangan kita yang akan terlepas daripada disoal. Bagi setiap aduan yang tidak diendahkan, setiap lubang jalan yang terbiar, setiap kemalangan yang berlaku atas kecuaian, setiap projek yang tertangguh, setiap keluarga yang sengsara dan menderita, saya bersama saudara dan saudari perlu menjawab di hadapan Allah SWT,” katanya lagi.-KOSMO! ONLINE















