fbpx
PENYERANG JDT, Bergson cuba melepasi dua pemain pertahanan Melaka FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri hari ini. Foto RAJA JAAFAR ALI

Liga Super: JDT baham Melaka FC 7-1

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ISKANDAR PUTERI – Kelab gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Takzim (JDT) terus menunjukkan taringnya apabila membelasah Melaka FC 7-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim di sini malam ini.

Kemenangan mengutip tiga mata penuh ke atas pasukan tercorot itu meletakkan Harimau Selatan terus mengungguli tahkta liga dengan 30 mata hasil 10 perlawanan.

Sebaik wisel perlawanan ditiupkan, anak buah Xisco Munoz terus mengasak kubu lawan sekaligus diawal minit keenam, pada awalnya gol yang dijaringkan Jonathan Silva tidak disahkan selepas penjaga garisan, Mohd Khairul Nizam Radzali mengangkat bendera apabila mendapati Afiq Fazail berada di kedudukan ofsaid.

Bagaimanapun, hasil semakan video bantuan pengadil (VAR) oleh pengadil, Nasiruddin Tamrin mengesahkan gol yang dijaringkan Silva dengan membatalkan ofsaif Afiq untuk meletak Harimau Selatan mendahului 1-0.

Tersentak dengan jaringan awal JDT itu, skuad kendalian K. Devan tampak bermain secara kompak bagi mengecilkan ruang untuk anak buah Munoz menyusup masuk ke dalam kotak penalti sehingga menyukarkan Bergson da Silva dan Jairo da Silva melakukan rembatan bola berbahaya.

Namun taktik yang digunakan pasukan pelawat itu tidak mematahkan idea pemain JDT dan hasilnya, pada minit ke-31 berpunca daripada bola sepakan percuma Oscar Arribas menyaksikan Bergson Da Silva melonjak tinggi dan melakukan tandukan tepat ke penjuru kiri gawang menewaskan penjaga gol, Haziq Aiman Esa.

Memasuk separuh masa kedua, JDT terus menambah luka anak buah Devan apabila gerakan menarik Jairo pada minit ke-47 membuka ruang buat pemain gantian, Heberty Fernandes meledak gol ketiga tuan rumah selepas mudah merembat bola tepat ke penjuru kanan menewaskan Haziq Aiman.

Tiga minit berselang, bola sepakan lintang Arribas ditanduk keluar Irfan Zakaria tapi Teto Martin yang sudah bersedia di luar kotak penalti merembat kencang dan terkena tiang kanan sebelum masuk menewaskan Haziq Aiman bagi meletak Harimau Selatan selesa 4-0.

Sekali lagi VAR diperlukan selepas gol Bergson awalnya didapati ofsaid namun semakan yang dilakukan Nasiruddin mengesahkan jaringan pada minit ke-58 dan ia berpunca daripada bola sepakan lambung Park Jun Heong membolehkan penyerang prolifik Harimau Selatan mudah memperdaya Irfan sebelum merembat bola menewaskan Haziq Aiman bagi mencetak gol kedua peribadi.

Teto mencuri tumpuan selepas meledak gol kedua peribadi pada minit ke-66 berpunca daripada bola sepakan percuma Arribas dan Bergson bertindak menanduk bola ke belakang yang membolehkan pemain tengah JDT itu merembat kencang dari luar kotak penalti menewaskan Haziq Aiman.

Ketika aksi berbaki lima untuk ditamatkan, Melaka FC mengejutkan JDT selepas pemain gantian Abdul Azim Rahim bertindak merampas bola dari kaki pemain JDT dan pantas merembat bola dari tengah padang menewaskan penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed yang tampak kebal sepanjang saingan liga akhirnya bolos buat kali pertama musim ini.

Bagaimanapun, JDT menyentap kebangkitan Melaka FC selepas Heberty mencetak gol kedua peribadi ketika aksi berbaki seminit ditamatkan apabila bola sepakan percuma dari jarak 25 meter menewaskan Haziq Aiman untuk meletak Harimau Selatan selesa dengan jaringan 7-1.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN