BRASILIA – Beratus-ratus peserta termasuk barisan menteri berdepan detik cemas apabila salah satu pavilion yang mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak Perubahan Iklim COP30 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terbakar di Brazil, lapor akhbar The Sun UK.
Kebakaran berlaku selepas pukul 2 petang (waktu tempatan) di pusat persidangan di Belem, negeri Para semalam.
Rakaman video kejadian menunjukkan orang ramai berlari menyelamatkan diri apabila api mula marak, dengan asap tebal menyelubungi udara.
Pasukan pengawal keselamatan dilihat masuk ke dalam bilik persidangan dengan membawa alat pemadam api sambil mengosongkan bangunan tersebut dalam masa beberapa minit.
“Api merebak dengan pantas ke beberapa pavilion berhampiran,” kata pihak berkuasa.
Berpuluh-puluh anggota bomba tiba di tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran.
Gabenor Para, Helder Barbalho memberitahu saluran berita G1 bahawa kebakaran itu dipercayai tercetus akibat kerosakan penjana atau litar pintas di kawasan pameran.
Menteri Pelancongan Brazil, Celso Sabino mengesahkan kepada pemberita bahawa kebakaran berjaya dikawal dan tiada kecederaan dilaporkan.
“Kami percaya kebakaran bermula berhampiran pavilion China sebelum merebak ke beberapa pavilion Afrika,” kata Sabino.
Pakar perubatan, Kimberly Humphrey pula berkata, puluhan orang menerima rawatan akibat terhidu bau asap.
“Orang ramai trauma dan terkejut,” tambah Humphrey. – AGENSI















