PETALING JAYA – Inflasi Malaysia menyederhana kepada 1.3 peratus pada Oktober 2025 daripada 1.5 peratus pada September, menurut laporan Indeks Harga Pengguna (IHP) yang diterbitkan Jabatan Perangkaan hari ini.
Peningkatan inflasi disumbangkan oleh kenaikan lebih perlahan kumpulan Makanan & Minuman, yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP pada 1.5 peratus (September: 2.1 peratus) serta Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain sebanyak 1.1 peratus (September: 1.5 peratus).
Selain itu, kumpulan Maklumat & Komunikasi, Pakaian & Kasut serta Pengangkutan masing-masing merekodkan penurunan kepada negatif 2.4 peratus, negatif 0.3 peratus dan negatif 0.1 peratus.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, 60 peratus item (344 daripada 573) merekodkan kenaikan harga.
“Daripada jumlah tersebut, 335 item (97.4 peratus) mencatatkan peningkatan kurang atau sama dengan 10 peratus, manakala hanya sembilan item merekodkan kenaikan melebihi 10 peratus pada Oktober 2025.
“Baki sebanyak 181 item (31.6 peratus) menunjukkan penurunan dan 48 item kekal tidak berubah,” katanya dalam kenyataan.
Berhubung inflasi di peringkat negeri, enam negeri merekodkan peningkatan melebihi paras nasional iaitu Johor (1.9 peratus), Negeri Sembilan (1.7 peratus), Selangor (1.6 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1.6 peratus), Melaka (1.4 peratus) dan Terengganu (1.4 peratus).
Sementara itu, berbanding negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia lebih rendah berbanding Vietnam (3.3 peratus), Indonesia (2.9 peratus) dan Korea Selatan (2.4 peratus), namun lebih tinggi daripada China (0.2 peratus) dan Thailand (-0.8 peratus). – KOSMO! ONLINE















