PETALING JAYA – Ketibaan guru baharu di Sekolah Kebangsaan Nanga Telawan terletak satu kawasan pedalaman di Belaga, Sarawak disambut oleh warga sekolah yang sedia menanti di jeti, sekali gus menarik perhatian pengguna media sosial.
Menerusi video dimuat naik seorang guru pada TikTok Tok Ngulu, memperlihat warga sekolah termasuk guru dan murid menunggu di jeti bersedia menantikan kehadiran guru baharu tersebut.
Kelihatan satu bot tiba di tepi jeti dan guru baharu itu keluar dari situ serta menemui warga sekolah serta bersalaman dengan mereka.
Selain itu, pengendali bot serta guru-guru lelaki turut membantu menaikkan barangan milik guru baharu berkenaan.
“Menyambut kedatangan guru baharu,” menurut kapsyen ringkas pada video Tok Ngulu.
Hantaran itu mendapat pelbagai maklum balas daripada orang ramai selain ada yang kagum dengan semangat warga sekolah tersebut menyambut kehadiran guru baharu.
“Sayu tengok budak-budak kecil ni, menunggu cikgu-cikgu yang akan mengajar mereka tulis dan membaca,” komen pengguna TikTok Maruko.
“Moga saya dapat posting ke kawasan pedalaman macam ni. Memang teringin sangat,” kata Ema Aiyka.
“Dah kenapa aku rasa sebak tengok satu sekolah sambut kedatangan guru baharu. Selamat berkhidmat cikgu, moga dipermudah setiap urusan,” komen Jimmy Yusof. – KOSMO! ONLINE.
@tokngulukherol Menyambut kedatangan guru baharu #sarawakfyppp #sknangatelawan #pedalaman3sarawak #tiktokmalaysia ♬ Beautiful Land (Sape Dayak Borneo) – Helmy Trianggara















