KLANG – Sebuah premis memproses minyak hitam secara haram dipercayai sejak setahun lalu diserbu Pasukan Polis Marin (PPM) dalam kejadian di Kapar di sini semalam.
Serbuan pukul 9 pagi itu dilakukan PPM Pelabuhan Klang selepas menerima maklumat awam berhubung perkara tersebut.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari, berkata pemeriksaan mendapati 56 skid tank berisi 1,321,000 liter minyak hitam di premis berkenaan.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati syarikat tersebut tidak memiliki permit kebenaran daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan permit kebenaran daripada majlis perbandaran Klang (MPK).
“Kesemua barang kes yang di rampas bernilai kira-kira RM3.7 juta disita di bawah Akta Jabatan Alam Sekitar dan Akta Majlis Perbandaran Klang.
“Barang kes telah diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini.
Jelas beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan minyak hitam itu dipercayai untuk pasaran sekitar lembah Klang. – KOSMO! ONLINE















