BAGAN DATUK – Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah (PMSN) yang dimasyurkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini hari ini diharap kerajaan agar ia dapat menjadi Pusat Kecemerlangan TVET Maritim di Pantai Barat Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, peranan digalas institusi pengajian tinggi itu membabitkan program pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) maritim seterusnya menjadikan PMSN kebanggaan negeri ini dan Malaysia secara keseluruhannya.
“Semoga setiap langkah dan usaha di bawah naungan nama Tuanku membawa keberkatan serta kecemerlangan berterusan kepada negeri Perak dan negara Malaysia.
“Justeru, patik menyeru agar politeknik ini kelak menjadi pusat pendidikan tinggi terunggul, pengeluar tenaga kerja mahir dan pemangkin pembangunan teknologi maritim berdaya global,” katanya ketika berucap di Majlis Pemasyuran PMSN di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, daerah Bagan Datuk yang terletak di kawasan muara yang strategik turut dilihat menjadi hub perikanan laut dalam seperti mana termaktub di dalam pelan Perak Sejahtera 2030.
“Daerah Bagan Datuk mempunyai potensi besar sebagai hub pendidikan dan latihan maritim seperti teknologi perkapalan, perikanan moden, tenaga laut dan keselamatan perairan yang akan menyumbang kepada ekonomi negeri dan negara.
“Sebagai Pengerusi Majlis TVET Negara, patik melihat usaha ini selaras dengan Dasar TVET Negara 2030, menerusi pelbagai inisiatif termasuk penyelarasan
kurikulum, penambahbaikan pengiktirafan industri dan pengembangan Program TVET High Growth High Value bagi membuka laluan kerjaya berpendapatan tinggi,” katanya.
Beliau berkata, dalam sektor maritim, TVET membuka peluang kepada anak-anak muda untuk menguasai kemahiran kejuruteraan mekanikal marin, elektrikal marin dan automasi kapal, menjalankan penyelidikan tenaga laut boleh diperbaharui dan meningkatkan keselamatan serta kecekapan operasi sektor maritim negara.
“Tentunya usaha ini dapat melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang TVET maritim, sejajar dengan agenda Ekonomi Madani dan Dasar Pengangkutan Negara 2030 yang meletakkan sektor maritim sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara.
“Bahkan, graduan TVET dalam bidang maritim akan menjadi tonggak penting dalam membentuk masa depan industri pelabuhan, perkapalan, logistik dan tenaga laut. Mereka bukan sahaja menyumbang kepada ekonomi negara, malah menjadi penjaga kelestarian perairan negara,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, PMSN merupakan politeknik ke-35 negara yang ditubuhkan pada Disember 2016 dengan visi melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan dan teknologi maritim.
Beliau berkata, pengambilan sulung PMSN adalah pada 2017 melalui Diploma Seni Bina Kapal, menjadikannya satu-satunya politeknik TVET yang memfokuskan maritim dan perkapalan.
“Hari ini, politeknik ini berdiri megah di atas 12.14 hektar tanah, dibangunkan dengan kos RM175 juta dan siap sepenuhnya pada 2023, sebuah mercu ilmu yang mencerminkan tekad kerajaan memperkasa TVET maritim negara.
“Penubuhan ini seiring aspirasi Malaysia Madani dan agenda Ekonomi Biru negara untuk memperkukuh kelestarian laut dan teknologi maritim masa hadapan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














