TEMERLOH – Akibat merakam gambar seorang wanita yang sedang duduk menyebabkan seorang lelaki menerima padah apabila ditahan polis.
Dalam kejadian pada 9 September lalu itu, kerani berusia 41 tahun itu dikatakan merakam gambar seorang wanita yang sedang duduk melihat ayam di pekan sehari Temerloh sebelum disedari oleh seorang lagi wanita.
Berdasarkan rakaman video berdurasi 37 saat yang tular menyaksikan lelaki berkenaan telah dipegang seorang wanita sebelum berjaya ditahan oleh orang ramai.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, suspek yang merupakan penjawat awam ditahan pada pukul 10 pagi hari kejadian.
“Suspek ditahan 24 jam dan dijamin polis.
“Siasatan masih dijalankan bagi mendapatkan laporan analisa kandungan telefon yang digunakan,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 509A/292 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan mengaibkan kehormatan seseorang dan memiliki bahan lucah
Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati terdapat dua video berkaitan mangsa yang dirakam suspek berkenaan.
Tambahnya, siasatan juga mendapati terdapat sejumlah video memaparkan individu lain dan gambar pornografi di telefon suspek.-KOSMO! ONLINE














