fbpx
Kedudukan kewangan Pulau Pinang menunjukkan prestasi terbaik berdasarkan kutipan hasil terkini. Foto oleh DANIAL SAAD

P. Pinang dijangka catat lebihan hasil tahun 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Kedudukan kewangan Pulau Pinang menunjukkan prestasi terbaik apabila berdasarkan kutipan hasil terkini serta jangkaan sehingga penutupan akaun tahun semasa, negeri ini berkemungkinan mencatat surplus atau lebihan hasil bagi tahun 2026.

Perkembangan positif itu diumumkan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Menurut Kon Yeow, unjuran tersebut seiring dengan penurunan defisit negeri yang kini berada pada paras terendah dalam beberapa tahun.

“Berdasarkan anggaran terkini, defisit bagi tahun 2026 dijangka hanya RM19.92 juta, berbanding RM33.63 juta pada 2025 dan RM514.53 juta pada 2024. Ini adalah pencapaian yang amat membanggakan.

“Berdasarkan kutipan hasil terkini dan jangkaan hasil diterima sebelum penutupan akaun tahun semasa, berkemungkinan dijangka akan mencatat surplus atau lebihan hasil,” katanya.

Kon Yeow (PH-Padang Kota) berkata, Rang Undang-Undang Perbekalan Tahun 2026 memperuntukan anggaran Perbelanjaan Mengurus berjumlah RM1.087 bilion dan anggaran Pembangunan sebanyak RM318.62 juta, manakala anggaran hasil negeri bagi 2026 ialah RM1.068 bilion.

Katanya, pencapaian fiskal tersebut membuktikan keberkesanan dasar pengurusan kewangan kerajaan negeri, terutama melalui usaha meningkatkan hasil, kawalan perbelanjaan berhemah serta perancangan fiskal yang lebih teratur.

“Langkah-langkah ini membolehkan kita mencatat defisit terendah dalam rekod terkini, dan membuka ruang kepada potensi lebihan hasil,” katanya.

Sementara itu, katanya, kerajaan negeri kini sedang merangka Peraturan-Peraturan Mineral Negeri Pulau Pinang sebagai langkah penting untuk memastikan setiap proses penerokaan atau pembangunan sumber mineral elemen nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) dilakukan secara bertanggungjawab dan mematuhi piawaian keselamatan.

Katanya, sumber teragak NR-REE tersebut dianggarkan mencecah 1.7 juta tan metrik dengan nilai kira-kira AS$21 bilion (RM87.29 bilion), tertakluk kepada pengesahan melalui kajian terperinci.

“Kawasan yang dikenal pasti termasuk Teluk Bahang, Balik Pulau, Bukit Mertajam dan Bukit Panchor.

“Potensi sumber ini berupaya memperkukuh ekonomi Pulau Pinang, namun ia mesti diurus dengan penuh berhati-hati, berasaskan data saintifik dan rangka kawal selia yang ketat,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI