fbpx
Siew Khim (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Nurul Natasha (tengah) di Kepala Batas, hari ini.

JKM beri sokongan emosi kepada isteri pemuda jatuh Jambatan P. Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang membantu memberikan sokongan emosi segera kepada isteri mangsa lemas selepas terjatuh dari Kilometer 2.8 Jambatan Pulau Pinang, menghala ke Perai, Ahad lalu.

Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Lim Siew Khim berkata, satu sesi intervensi krisis telah dijalankan oleh Pegawai Psikologi JKM ketika lawatan di kediaman isteri mangsa, Nurul Natasha Amyra Ishak, 19, di Kepala Batas, hari ini.

Menurutnya, pegawai psikologi dan kaunselor agensi berkenaan akan terus membantu wanita tersebut sehingga pulih daripada trauma termasuk memberi bimbingan untuk memulakan perniagaan kecil demi kestabilan ekonomi keluarganya.

“Pendekatan ini penting agar dia dapat berdikari bagi menjamin masa depan tiga orang anaknya.

“Sebagai seorang ibu dan isteri, saya amat memahami keadaan emosinya yang masih berada dalam keadaan trauma, terkejut dan tidak berdaya, apatah lagi beliau kini sedang hamil lima bulan.

“Sokongan berterusan daripada ibu mertua dan adik-beradik mangsa amat membantunya dalam menguruskan keadaan keluarga,” katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu katanya, pihak JKM turut menyampaikan sumbangan Tabung Bantuan Segera Negeri (TBSN) sebanyak RM1,000 sebagai bantuan awal kepada keluarga selain pemberian bakul makanan dan lampin bayi.

“JKM akan mengusahakan Bantuan Kanak-Kanak atau Bantuan Agenda Ekonomi Saksama (BAES) bagi menjaga kebajikan dua anak kecil mereka. Dia juga layak menuntut RM1,000 Khairat Kematian di bawah Program STR.

“Bagi memastikan sokongan menyeluruh, JKM akan merujuk keluarga ini kepada pihak Zakat untuk bantuan kewangan tambahan,” ujarnya lagi. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI