fbpx
Gambar hiasan

Iklan ubat tidak sah di platform internet diturunkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Negara sedang berdepan dengan isu penjualan ubat tidak sah yang dipromosikan secara dalam talian.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) namun telah mengadakan sesi libat urus bersama platform e-dagang bagi menurunkan iklan terlibat.

“Mereka (orang ramai) dinasihatkan tidak menggunakan media sosial seperti Live TikTok untuk menjual atau mempromosikan ubat-ubatan.

“Terutama ubat yang boleh menarik perhatian dalam penurunan berat badan serta produk-produk kecantikan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hishammuddin Hussein (BN-Sembrong) berhubung langkah penguatkuasaan dan tindakan tegas KKM dalam isu tersebut.

Dalam pada itu, Lukanisman berkata, KKM telah mengeluarkan kompaun bernilai RM120 juta terhadap kesalahan membabitkan ubat tidak berdaftar.

Katanya, kompaun itu dikeluarkan menerusi tindakan penguatkuasaan bawah Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik (PKDK) 1984

Terdahulu, Lukanisman berkata, KKM memperkasakan industri farmaseutikal tempatan termasuk mengembangkan pengeluaran ubat generik, biosimilar dan ‘Active Pharmaceutical Ingredients’

Kata beliau, langkah itu merupakan strategi jangka panjang bagi memastikan keterjaminan bekalan dan akses ubat mampu milik kepada orang ramai.

Menurut beliau, usaha itu melibatkan kerjasama Bahagian Regulatori Farmasi Negara dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia.

“Syarikat tempatan turut digalakkan menyertai insentif penyelidikan dan pembangunan. Malaysia juga mengetuai Inisiatif Keterjaminan dan Kemandirian Ubat-Ubatan ASEAN dengan pelan pelaksanaan 2026–2030.

“Selain itu, akses kepada ubat-ubatan mampu milik diperkukuh melalui semakan berkala Formulari Ubat KKM, perluasan Medicines Access Schemes (MASc) serta pelaksanaan Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Ubat) 2025 yang berkuat kuasa 1 Mei 2025,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI