fbpx
Tengku Permaisuri Norashikin ketika bertitah sempena Istiadat Konvokesyen UiTM ke-103 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam, hari ini. FOTO: Saddam Yusoff

Graduan perlu cipta peluang, pimpin perubahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Graduan masa kini perlu bijak mencipta peluang dan memimpin perubahan bagi menghadapi Revolusi Industri 5.0 yang semakin mencabar.

Pro Canselor UiTM, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin bertitah, graduan perlu menjadi usahawan dan profesional yang berpandangan jauh selain memiliki ketahanan minda serta nilai kemanusiaan yang tinggi.

“Dalam ketidaktentuan masa depan, graduan bukan sahaja, perlu pandai mencari peluang, tetapi mencipta peluang dan memimpin perubahan.

“Jadilah usahawan dan profesional yang berpandangan jauh, kalis cabaran dan kaya dengan nilai kemanusiaan,” titah baginda sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-103 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM di sini, hari ini.

Baginda bertitah, Revolusi Industri 5.0 menuntut graduan memiliki ilmu kemahiran dan kebijaksanaan untuk menyesuaikan diri dengan dunia pekerjaan yang semakin dinamik.

“Tuntutlah ilmu sampai ke negeri China. Ungkapan ini mendorong kita untuk menimba ilmu tanpa ada batas dan tanpa titik noktah.

“Kejayaan yang diraih hari ini bukan penama perjuangan, sebaliknya, satu permulaan kepada perjalanan ilmu yang lebih luas.

“Teruslah mencari ilmu pengetahuan yang baharu, teruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, dan
perkayakanlah diri dengan ilmu yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat dan negara,” titahnya.

Tengku Permaisuri Norashikin turut bertitah, UiTM sebagai institusi pendidikan tinggi yang unggul terus memainkan peranan penting dalam melahirkan graduan berdaya saing, berinovasi dan kalis masa depan.

“UiTM bukan sahaja menghasilkan tenaga profesional untuk pelbagai sektor industri, tetapi juga membentuk usahawan bumiputera yang berwawasan global.

“Sehubungan itu, kualiti program akademik UiTM sentiasa dipastikan berada pada tahap tertinggi,
menepati piawaian Agensi Kelayakan Malaysia serta diiktiraf oleh pelbagai badan profesional antarabangsa,” titah baginda.

Konvokesyen kali ini melibatkan seramai 32,630 graduan yang berlangsung bermula semalam hingga 18 Disember depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN