BINTANG karate negara, C. Shamalarani kini memberi tumpuan penuh kepada penampilan sulungnya di Kejohanan Dunia di Kaherah, Mesir pada 27 November ini sebelum turun mempertahankan emas Sukan SEA Thailand 2025 bulan depan.
Atlet berusia 27 tahun itu mengakui, Kejohanan Dunia bukan sekadar medan pemanas badan, sebaliknya pentas sebenar untuk menguji kemampuan beraksi bersama 32 atlet terbaik dunia dalam kategori kumite bawah 50 kilogram (kg).
“Ini Kejohanan Dunia pertama dan saya bersyukur layak secara merit, bukan penyertaan biasa. Jadi dengan peluang ini saya mahu manfaatkan sepenuhnya untuk buktikan kemampuan di tahap tertinggi,” katanya.
Juara bertahan Sukan SEA itu mengakui cabaran di Mesir jauh lebih sukar, namun pengalaman menewaskan juara dunia pada Kejohanan Asia sebelum ini menjadi tonik terbaik meningkatkan semangatnya.
Katanya, ranking tidak memberi jaminan dalam sukan karate kerana pertarungan selama tiga minit bergantung sepenuhnya kepada strategi dan perancangan taktikal.
“Karate sangat subjektif. Anda mungkin lawan nombor satu dunia atau ranking ke-100, tetapi apa yang berlaku dalam tiga minit itu yang menentukan. Saya tidak boleh pandang rendah sesiapa,” jelasnya.
Shamalarani berkata, pengalaman bertanding di kejohanan berprestij itu hadir tepat pada waktu sebelum saingan Sukan SEA bermula 9 hingga 20 Disember ini.
“Fokus saya sekarang adalah Kejohanan Dunia. Habis tugasan ini, barulah saya fikirkan Sukan SEA dan sudah pasti saya mahu mempertahankan pingat emas di temasya itu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














