JAKARTA – Pengguna jalan raya di laluan Tol Jakarta-Cikampek gempar apabila dua ekor lembu berlari di tengah lebuh raya, menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk, lapor laman berita MPN semalam.
Dalam kejadian kelmarin, haiwan itu terlepas setelah sebuah lori yang membawanya terlibat dalam kemalangan.
Dalam sebuah video tular, lembu-lembu itu dilihat berlegar-legar di tengah jalan, menyebabkan kenderaan lain terpaksa berhenti serta-merta.
Petugas lebuh raya dan polis segera dikejarkan ke lokasi kejadian dan cuba menangkap kedua-dua haiwan itu.
Salah seekor daripadanya mengamuk dan memasuki kawasan rehat di kilometer 57A, malah ia sempat mengejar beberapa pengguna yang sedang berehat.
“Lembu itu akhirnya disembelih di kawasan rehat itu, manakala seekor lagi ditangkap di tepi jalan,” kata Ketua Badan Pembinaan Jalan Utama Jalan Tol Jakarta-Cikampek, Asisten Komisioner Sandy Titah Nugraha. – AGENSI















