fbpx
SEBAHAGIAN 84 warga asing didakwa atas pertuduhan menggunakan kad pengenalan Malaysia palsu dan kad pengenalan indentiti orang lain di Mahkamah Majistret Kulai hari Ini. Foto BAZLAN IBRAHIM/KOSMO!

84 pekerja asing didakwa guna IC orang lain, palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KULAI – Seramai 84 pekerja warga asing mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas tuduhan menggunakan kad pengenalan palsu dan MyKad milik orang lain pada Isnin lalu.

Majistret R. Salini menjatuhkan hukuman denda RM4,000 setiap seorang terhadap 83 tertuduh atau tujuh bulan penjara jika gagal membayar denda.

Semua tertuduh yang juga warga Filipina dan Indonesia serta seorang yang mengaku warga tempatan, dikenakan hukuman penjara tujuh bulan dari tarikh tangkap iaitu Isnin lalu.

Semua hukuman tersebut dijatuhkan selepas semua 18 tertuduh lelaki dan 66 wanita itu mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadap mereka secara berasingan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa tanpa kuasa yang sah didapati menggunakan kad pengenalan palsu atau MyKad atas nama orang lain sebagai dokumen pengenalan diri di sebuah kilang di Taman Teknologi, Senai di sini, kira-kira pukul 5 petang, Isnin lalu.

Bagi perbuatan itu, mereka yang berusia antara 18 hingga 53 tahun didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Zulkarnain Ahmad pula berkata, kad pengenalan adalah satu dokumen yang penting di Malaysia dan jika disalah guna, ia boleh mendatangkan masalah kepada negara dalam pelbagai aspek seperti ekonomi, politik dan paling penting adalah keselamatan negara.

“Mohon hukuman berat sebagai pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh tetapi kepada semua masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan yang sama,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI