KANGAR – Kira-kira 70 peratus graduan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sudah bekerja atau menyambung pengajian sebelum berlangsungnya Istiadat Konvokesyen Ke-20 universiti itu.
Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis, Prof Datuk Dr. Zaliman Sauli berkata, istiadat empat hari melibatkan lapan sidang itu menyaksikan seramai 3,568 graduan menerima skrol masing-masing.
“Daripada jumlah itu, seramai 79 orang menerima ijazah Doktor Falsafah, 98 graduan Sarjana, 2,589 Sarjana Muda, 489 Diploma Kejuruteraan dan 313 graduan Program Profesional.
“Angka 70 peratus itu merupakan peningkatan ketara berbanding kadar sekitar 60 peratus pada tahun-tahun sebelumnya,” katanya semasa sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Zaliman, keyakinan industri terhadap graduan universiti berkenaan semakin kukuh antara faktor utama kebolehpasaran graduan keluaran UniMAP.
“Ramai graduan kita sudah menerima tawaran pekerjaan dan ada yang menyambung pengajian sebelum majlis konvokesyen bermula adalah bukti penerimaan pihak industri terhadap graduan kami.
“Graduan UniMAP boleh dianggap sebagai graduan yang benar-benar bersedia untuk industri kerana latihan dan silibus kita sentiasa dikemas kini mengikut keperluan teknologi semasa,” ujarnya lagi.
Dalam istiadat bersejarah itu, Dewan Tuanku Canselor UniMAP akan digunakan buat pertama kali bagi penganjuran konvokesyen pada tahun ini.
Majlis itu bakal menyaksikan pemasyhuran anakanda kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail iaitu Sharifah Khatreena Nuraniah dilantik sebagai Pro Canselor UniMAP.
Selain itu, UniMAP turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan kepada mantan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mustapa Mohamed atas sumbangan besarnya dalam pembangunan pendidikan tinggi teknikal negara.-KOSMO! ONLINE















