PETALING JAYA – Kerajaan melaksanakan program intervensi khusus bagi menyokong generasi ‘sandwich’ yang berdepan tekanan ekonomi dan memikul tanggungjawab menjaga ibu bapa serta keluarga sendiri.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, generasi ini mempunyai perancangan hidup mereka sendiri, termasuk ada yang memilih untuk tidak mempunyai anak.
Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan tetap bertanggungjawab membantu mereka menilai semula keputusan tersebut.
“Kami mengadakan intervensi dari segi program-program untuk menggalakkan generasi ini, terutama sekali yang dikira ‘sandwich’.
“Mereka ada perancangan sendiri, kita tidak dapat menghalang mereka kalau mereka tidak mahu ada anak, tetapi kita juga bertanggungjawab untuk pastikan mereka memikirkan perkara itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2025 (PERKKS 25), di sini, hari ini.
Tambah Nancy, kebanyakan golongan ‘sandwich’ terhimpit kerana faktor ekonomi dan pada masa sama terikat dengan tanggungjawab menjaga ahli keluarga lain, sekali gus mempengaruhi keputusan besar dalam kehidupan mereka.
“Dia jadi ‘sandwich’ kerana ekonomi, satu. Kedua, mereka ada perancangan lain untuk menjaga keluarga mereka yang lain, maka mereka perlu memikirkan selanjutnya. Mungkin ada yang membuat keputusan pada masa ini, tetapi bila dah lama, mereka menukar fikiran.
“Yang penting, kerajaan perlu memberi sokongan dari segi polisi. Kita perlu membantu mereka ini untuk menggalakkan mereka.
“Intervensi yang kami lakukan ini bukan bantuan kewangan, tetapi bantuan dari segi maklumat, pengetahuan dan panduan tentang apa yang boleh mereka lakukan,” katanya.
Mengulas mengenai persediaan negara menghadapi negara menua menjelang 2030, Nancy menjelaskan kerajaan melaksanakan intervensi dengan memberikan perhatian kepada ekonomi penjagaan (care economy).
“Ini (ekonomi penjagaan) adalah satu daripada cara kita untuk membantu negara menua ini. Kita ada warga emas yang menua tetapi masih sihat, dan ada juga yang memerlukan penjagaan.
“Maka tanggungjawab kami untuk mengadakan perkhidmatan itu bagi membolehkan mereka dibantu dari segi penjagaan. Itu peranan kita,” katanya.
Beliau berkata kerajaan juga mempunyai rangka kerja khusus bagi membangunkan ekonomi penjagaan di negara ini selain menyediakan pelbagai program untuk remaja bagi memberi sokongan kepada warga emas.
“Antara program-program yang kita lakukan, terutama sekali program kesihatan. Kita ada juga program seperti Power, itu adalah salah satu daripadanya, dan program lain untuk membantu mengatasi cabaran yang mereka tidak produktif.
“Kita mahu mereka menjadi produktif. Selain daripada itu juga adalah dari segi undang-undangnya kita ada juga untuk dasar tindakan-tindakan untuk warga emas. Kita dah lancarkan di Sabah hari itu tetapi secara butirannya masih lagi dalam perancangan,” katanya. – KOSMO! ONLINE















