PETALING JAYA – Usaha Kerajaan Madani menangani isu kekurangan tenaga pengajar terus menunjukkan hasil apabila 52,948 guru baharu telah ditempatkan di sekolah-sekolah seluruh negara sejak tahun 2023 hingga kini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, jumlah itu menunjukkan kadar pengisian melebihi 98 peratus, iaitu yang tertinggi setakat ini.
Beliau berkata, angka tersebut merangkumi seramai 18,792 guru ditempatkan pada tahun 2023, 13,983 guru pada tahun 2024 dan seramai 20,173 guru pada tahun 2025.
“Majlis Penempatan Guru Baharu Negeri Perak yang berlangsung pada Isnin lalu membawa makna tersendiri, dengan ratusan guru hadir secara fizikal dan ribuan lagi di seluruh negara menerima penempatan masing-masing.
“Data ini bukan sekadar angka, sebaliknya mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan isu kekurangan guru diselesaikan secara menyeluruh, di samping meningkatkan kualiti pendidikan dan menangani beban tugas pendidik,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua guru baharu yang menerima penempatan, sambil menyeru mereka menunaikan amanah dengan penuh tanggungjawab dan mendidik murid dengan jiwa serta keikhlasan agar melahirkan generasi masa depan yang berwibawa. – KOSMO! ONLINE















