fbpx
Nancy (tiga dari kiri) pada Majlis Pembukaan Forum ICT ASEAN Mengenai Perlindungan Kanak-Kanak 2025 dan Peluncuran Pelan Tindakan Dasar Kanak-Kanak Negara di Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh ISKANDAR ISHAK / KOSMO!

Trend kes buli kanak-kanak membimbangkan – Nancy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kes buli di negara ini termasuk berkaitan dalam kalangan kanak-kanak menunjukkan peningkatan ketara yang membimbangkan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, faktor utama menyumbang kepada peningkatan tersebut ialah kesedaran masyarakat yang membawa kepada lebih banyak laporan dibuat.

Menurutnya, faktor seterusnya ialah peluang jenayah siber yang semakin luas dan dimanfaatkan pelaku termasuk predator dalam talian.

“Memang membimbangkan kerana dibimbangi ada ibu bapa tidak sedar, terutama ibu bapa sibuk bekerja dan tidak tahu kesan aktiviti dalam talian.

“Di sekolah pula, guru-guru ada tugas lain jadi mereka tidak tahu apa yang berlaku, terutama kegiatan terkini dalam talian,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pembukaan Forum ICT ASEAN Mengenai Perlindungan Kanak-Kanak 2025 dan Peluncuran Pelan Tindakan Dasar Kanak-Kanak Negara di sini hari ini.

Nancy berkata, trend peningkatan itu bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi tanda jelas bahawa kanak-kanak kini terdedah kepada risiko melalui platform digital yang semakin sukar dikawal.

Katanya, sebahagian kanak-kanak teruja dengan aktiviti digital tanpa menyedari mereka sedang dimanipulasi sekali gus menjadikan mereka sasaran mudah.

Sementara itu, Nancy berkata, statistik rasmi kes buli hanya boleh disahkan selepas diterima daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana laporan yang direkodkan dan tindakan diambil menjadi asas utama data tersebut.

“Apa sahaja angka atau data, kita perlu dapatkan daripada PDRM. Jika telah dilaporkan dan tindakan telah diambil, barulah kita boleh peroleh data itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI