GEORGE TOWN – Isteri kepada pemuda yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh Jambatan Pulau Pinang menghala ke Perai di sini kelmarin masih menanti kepulangan suaminya yang hampir 40 jam hilang.
Menerusi hantaran di TikTok, wanita dikenali sebagai Ailah merayu orang ramai terutama pengguna media sosial agar menjaga perasaan dan mentalnya atas kejadian yang menimpa suaminya berusia 25 tahun.
“Mohon jangan komen yang bukan-bukan (tidak baik) tentang suami saya. Saya masih lagi bersedih dan sedang menanti kepulangan suami.
“Kalau tiada benda nak taip lebih baik diam dan tolong jangan buat andaian sendiri. Daripada bercakap buruk lebih baik mendoakan untuk orang lain, saya tak dapat nak membalas kata-kata yang menyakitkan di luar sana.
“Tuhan saja yang boleh membalas pada orang yang berkata buruk kepada saya dan suami. Pada yang mendoakan kami terima kasih, pada yang mengata semoga Tuhan yang dapat membalasnya,” kata ibu dua anak itu.

Ailah yang mengandung anak ketiga memaklumkan, dia tidak mengetahui situasi yang dialami suaminya sehingga sanggup bertindak sedemikian.
“Minta jasa baik kawan-kawan kita tak duduk tempat dia (suami) tak tahu apa yang dia tengah rasa. Sebagai isteri, hidup sebantal dan sebumbung pun saya tak tahu apa yang dia rasa, tolong jaga hati perasaan dan mental saya,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang pemuda dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari Kilometer 2.8, Jambatan Pulau Pinang menghala ke Perai petang kelmarin.
Terdapat bungkusan plastik berisi pakaian, telefon bimbit dan motosikal Yamaha Y16 dijumpai di tepi tembok jambatan sebelum mangsa hilang. – KOSMO! ONLINE














