KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kenaikan nilai ringgit ketika ini agak tinggi dan sangat meyakinkan.
Menurut beliau, nilai ringgit sehingga 14 November lalu meningkat kepada 8.21 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS)
Kata beliau, berbanding dolar Australia dan Taiwan pula, kenaikan ringgit masing-masing 5.66 peratus dan 5.26 peratus, malah turut mencatat kenaikan berbanding Yuan China dan dolar Singapura.
“Kenaikan itu agak tinggi dan sangat meyakinkan yang turut mempunyai kaitan dengan keyakinan (pelabur),” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) mengenai punca utama yang mendorong pengukuhan nilai ringgit.
Anwar berkata, selain keyakinan pelabur, disiplin fiskal dan pengurusan negara yang lebih teratur serta pelbagai dasar dilaksanakan kerajaan turut mendorong nilai ringgit mencatat prestasi terbaik di seluruh Asia.
Kata beliau, pencapaian itu sehingga membolehkan Malaysia buat pertama kali dalam tempoh 14 tahun berjaya keluar daripada defisit perkhidmatan.
Dalam pada itu, kata Anwar, penyasaran subsidi turut menyumbang kepada prestasi ringgit yang terbukti memberi kesan positif kepada rakyat.
Perdana Menteri berkata, kelangsungan pencapaian tersebut akan bergantung kepada pelaksanaan dasar serta kestabilan kerajaan dan keamanan negara.
“Negara harus ditadbir dengan bersih, dasar mesti wajar dan hala tuju jelas, pelaksanaan harus efisien, maknanya seluruh kekuatan kerajaan ke arah itu.
“Ada beberapa langkah dianggap kurang popular seperti penyelarasan subsidi, (tetapi) kita harus berani melakukannya,” katanya. – KOSMO! ONLINE














