fbpx
Anggota imigresen menyemak dokumen milik beberapa warga Bangladesh dalam Ops Sapu di sebuah pangsapuri di Klang, malam semalam. Foto oleh MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS

Cari PATI jumpa port dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Operasi memburu pendatang asing tanpa izin (PATI) oleh Jabatan Imigresen (JIM) Selangor membongkar penemuan mengejut ‘port dadah’ di sebuah unit pangsapuri di Taman Selat Damai di sini, malam tadi.

Dalam serbuan kira-kira pukul 10 malam itu, seorang lelaki tempatan berusia 30-an bertindak mencampakkan sebuah beg kecil keluar dari unit itu sebaik menyedari kehadiran anggota operasi.

Selepas disoal, lelaki itu mengaku beg berkenaan miliknya sebelum pemeriksaan menemukan satu botol kecil dipercayai pod berisi dadah serta beberapa paket serbuk putih disyaki dadah. Unit terbabit turut dihuni dua warga Indonesia yang dipercayai menjadikan rumah tersebut tempat melepaskan gian.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, ketiga-tiga lelaki berusia 20 hingga 30an itu diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

“Hasil soal siasat awal mendapati mereka sudah tinggal di unit itu lebih setahun,” katanya selepas menyertai Ops Sapu di pangsapuri berkenaan, malam tadi.

Dalam operasi sama, kata Lokman, seramai 95 warga asing ditahan daripada 285 individu yang diperiksa atas pelbagai kesalahan termasuk tiada dokumen, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa dan menggunakan kad tidak diiktiraf.

“Daripada jumlah itu, 38 individu merupakan warga Indonesia, Bangladesh (21), India (18), Nepal (10) dan lapan warga Pakistan. Kesemua yang ditahan berumur 18 hingga 50 tahun.

“Mereka akan ditempatkan di Depoh Tahanan Imigresen Semenyih bagi siasatan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN