SHAH ALAM – Sebanyak 51 serangan siber direkodkan antara 2023 hingga Oktober tahun ini terhadap sistem kerajaan negeri.
Exco Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, pecahan serangan menunjukkan lapan kes pada 2023 diikuti 18 pada 2024 dan 25 kes bagi 10 bulan tahun ini.
“Trend serangan itu sedikit membimbangkan, namun masih dalam keadaan terkawal. Ia sesuatu yang telah dijangkakan selepas kerajaan negeri mempelbagaikan digitalisasi dan penggunaan teknologi digital.
“Kebanyakan serangan menumpukan laman sesawang yang ada di kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan melibatkan sistem ringkas yang bukan perakaunan atau pun data-data pengguna,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.
Beliau menambah, kerajaan negeri telah meningkatkan langkah sewajarnya mempertingkatkan keselamatan siber meskipun tahap sofistikasi serangan itu tidak tinggi sehingga melumpuhkan sistem.
Jelasnya, serangan siber dipantau sentiasa hari dengan perlunya ada kerjasama kerajaan negeri dan Persekutuan.
“Ia membimbangkan kalau melibatkan keselamatan siber dari CyberSecurity Malaysia (CSM) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA),” ujarnya.
Terdahulu, Mohammad Fahmi yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia ketika menjawab soalan Abdul Rashid Asari (Bebas – Selat Klang) memberitahu, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor telah dilantik menjadi Ketua Sektor NCII (Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara) melalui surat telah ditandatangani Perdana Menteri pada 28 Januari lalu seperti diperuntukkan dibawah Akta Keselamatan Siber Tahun 2024.
“Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, sedang aktif melaksanakan penyediaan Tataamalan (Code Of Practice) Keselamatan Siber yang akan diguna pakai oleh semua agensi atau jabatan di bawah kerajaan negeri yang akan dikenalpasti sebagai Entiti NCII.
“Beberapa inisiatif penambahbaikan termasuk pengukuhan sistem rangkaian dan pusat data dengan penggunaan teknologi keselamatan serta sistem sandaran data berlapis bagi memastikan kesinambungan operasi dan perlindungan maklumat kritikal kerajaan negeri,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan negeri juga sedang menilai keperluan untuk mengintegrasikan Threat Intelligence Platform (TIP) bagi mendapatkan maklumat ancaman global secara proaktif dan memperkukuh sistem amaran awal terhadap taktik serta teknik serangan siber terkini. – KOSMO! ONLINE















