fbpx
Tunku Nashrul Abaidah menyampaikan taklimat kepada media di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA / KOSMO!

PM ketuai misi dagangan ke tiga negara Afrika esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai misi dagangan bagi meneroka peluang ekonomi dan pelaburan baharu ke Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya bermula esok hingga 24 November ini.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, lawatan itu akan turut disertai delegasi rasmi dan rombongan perniagaan Malaysia, manakala penglibatan perniagaan dalam lawatan ini adalah untuk memacu hubungan ekonomi dan pelaburan baharu di rantau Afrika.

“Ketiga-tiga pasaran menawarkan peluang kerjasama yang luas sejajar dengan hasrat Kerajaan Madani untuk mempelbagaikan pasaran dan mengukuhkan kedudukan Malaysia di arena antarabangsa,” katanya pada Taklimat Pejabat Perdana Menteri bersama media, di sini hari ini.
Katanya, lawatan rasmi pertama Perdana Menteri adalah di Addis Ababa, Ethiopia bermula esok hingga 20 November dengan memulakan kunjungan hormat ke atas Presiden Taye Atske Selassie.

Tunku Nashrul berkata, kedua-dua pemimpin kemudiannya akan menyertai Forum Perniagaan Peringkat Tertinggi Malaysia-Ethiopia bagi meneroka peluang perdagangan dan pelaburan.

Menurutnya, tumpuan utama di Ethiopia pastinya tertumpu kepada pertemuan Anwar dengan Perdana Menteri, Dr. Abiy Ahmed Ali, di mana perbincangan dua hala akan menata agenda kerjasama strategik, disusuli dengan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU).

“Perdana Menteri turut dijadual mengadakan pertemuan bersama Pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika, Mahmoud Ali Youssouf selain menyampaikan Syarahan Umum kepada belia Afrika yang dianjurkan bersama rakan-rakan strategik belia, sebagai platform memperkukuh hubungan belia Afrika–Asia,” katanya.

Katanya, selesai di Ethiopia, Perdana Menteri kemudian akan ke Johannesburg, Afrika Selatan bermula 20 hingga 23 November bagi menghadiri Sidang Kemuncak G20 dan Aspirasi Selatan Global. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN