BEREGU wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi wakil pertama Malaysia menjuarai Kejohanan Badminton Kumamoto Masters di Jepun, sekali gus meraih gelaran ketiga mereka dalam siri Jelajah Dunia BWF, semalam.
Pasangan No. 2 dunia itu mempamerkan kebangkitan hebat dalam kedua-dua set untuk menundukkan gandingan tuan rumah yang berada di tangga ketujuh dunia, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dengan keputusan 22-20, 21-19 pada aksi final di Gimnasium Wilayah Kumamoto.
Kemenangan itu mengulangi skrip kejayaan mereka di pentas final Terbuka Arctic di Finland bulan lalu, sekali gus mengukuhkan rekod cemerlang Pearly-Thinaah ke atas pasangan Jepun berkenaan dengan mereka kini mendahului rekod pertemuan dengan 6-2.
Naib juara dunia itu memulakan aksi dengan agak perlahan apabila ketinggalan 0-7 dan 5-11, malah hampir kehilangan set pertama ketika tertinggal 15-20 sebelum bangkit mengutip tujuh mata berturut-turut untuk menamatkan set pertama dengan kemenangan 22-20.
Set kedua menyaksikan Iwanaga-Nakanishi memulakan permainan dengan agresif, mendahului 8-3 dan 11-9 sebelum rehat, namun Pearly-Thinaah terus mengekalkan disiplin permainan, menyamakan kedudukan 14-14 dan menutup set kedua dengan kemenangan 21-19 selepas 54 minit perlawanan.
Menerusi kejayaan itu, Pearly-Thinaah menjadi juara Malaysia pertama dalam kejohanan yang diperkenalkan pada tahun 2023 dan mengatasi pencapaian terbaik negara sebelum ini menerusi perseorangan lelaki, Leong Jun Hao yang muncul naib juara pada edisi lalu.
Gelaran di Kumamoto juga menandakan kejayaan ketiga mereka dalam Jelajah Dunia BWF selepas menjuarai Terbuka Thailand pada Mei lalu.
Sebagai juara, Pearly-Thinaah membawa pulang hadiah wang tunai AS$37,525 (RM155,071), manakala Rin Iwanaga-Kie Nakanishi menerima AS$18,050 (RM74,591) sebagai naib juara.















