PUTRAJAYA- Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (Papsma) telah dibubarkan secara rasmi sejak 3 Mei 2024, sekali gus tidak perlu dikaitkan dengan mana-mana isu termasuk pekerja asing.
Bekas Setiausaha Agung Papsma, Dr. Sukumaran NK Nair berkata, pembubaran itu dibuat selepas pertubuhan itu menerima surat pembatalan daripada pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.
Menurut Sukumaran, permohonan rasmi untuk pembatalan pendaftaran itu telah dikemukakan pada 21 Mac 2024.
“Keputusan untuk membubarkan persatuan ini diambil setelah mempertimbangkan bahawa aktiviti yang dijalankan tidak lagi selaras dengan matlamat dan objektif asal sejak penubuhannya pada tahun 2018.
“Papsma juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) atas sokongan, kerjasama dan tunjuk ajar yang telah diberikan sepanjang tempoh kewujudan persatuan ini.
“Sumbangan kedua-dua kementerian amat dihargai sepanjang kewujudan tempoh kami,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, meskipun persatuan itu dibubarkan, namun kepentingan agensi pekerjaan swasta (APS) berlesen dalam memastikan proses pengrekrutan dan kemasukan pekerja asing wajib dijalankan secara beretika, teratur dan mematuhi dasar kerajaan.
Kata beliau, kebajikan pekerja asing serta kepentingan negara perlu terus dipelihara melalui proses tersusun di bawah kedua-dua kementerian berkenaan.
“Sehubungan itu, kami menyarankan agar suatu persatuan atau badan penyelaras baharu dipertimbangkan bagi memperkukuh prestasi APS.
“Sebagai agensi berlesen, kita mempunyai tanggungjawab bersama untuk berganding bahu dan bekerjasama demi memelihara integriti industri pengrekrutan serta memastikan proses dan dasar kemasukan pekerja asing dilaksanakan dengan teratur serta mematuhi ketetapan KDN dan Kesuma,” katanya. – KOSMO! ONLINE















