Cochlear, peneraju global dalam penyediaan penyelesaian pendengaran berasaskan implan, memilih Malaysia sebagai hab pembuatan, rekabentuk, pembaikan, kajian dan pembangunan ketiga utamanya di pasaran antarabangsa.
Kehadirannya di negara ini sejak 30 tahun lalu telah menyaksikan pelaburan yang disuntik masuk sebanyak RM30 juta di dalam pengoperasiannya di fasiliti canggihnya di Kuala Lumpur memberi banyak manfaat kepada mereka yang menghadapi masalah pendengaran dengan melalui satu transformasi positif dalam seumur hidup mereka.
Malah pelaburan dan inisiatifnya yang menjadikan Malaysia sebagai pusat pengeluaran dan pengedaran Cochlear ke lebih 180 buah negara di seluruh dunia itu juga telah membantu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Kini Cochlear Malaysia meraikan sambutan ulang tahunnya ke-30 mengukuhkan lagi komitmen syarikat dalam pembangunan industri kesihatan di negara ini dan pastinya syarikat akan terus memberi tumpuan terhadap pasaran berpotensi ini.
Presiden Asia Pasifik dan Amerika Latin, Cochlear, Stuart Sayers berkata, masih banyak lagi usaha yang perlu dilakukan untuk membantu kumpulan pesakit yang memerlukan bantuan.
“Sambutan ulang tahun ini merupakan detik yang tepat untuk memperbaharui janji, dalam masa yang sama, kami akan memastikan perjalanan hidup setiap inidividu yang terjejas pendengaran akan disokong oleh teknologi pintar dan pasukan berdedikasi kami di Malaysia dan ASEAN,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan tersebut sambil disertai oleh Ketua Pegawai Teknologi Cochlear Ltd, Jan Janssen.

KOSMO!: Boleh jelaskan tentang kehadiran syarikat di Malaysia sejak 30 tahun lalu, apa pandangan anda tentang industri ini?
STUART SAYERS: Kami gembira dengan progress operasi syarikat di Malaysia. Kami berbangga dengan pencapaian sehingga kini, malah ia telah menjangkaui apa yang kami rancangkan.
Bagaimanapun, banyak lagi perkara yang kami perlu dilakukan kerana masih ramai yang menghadapi masalah pendengaran di luar sana memerlukan rawatan.
Berapa ramai recipien (penerima implan pendengaran) di negara ini?
Buat masa ini kami sudah memiliki 1,500 penerima. Ia adalah satu angka yang baik untuk syarikat dan kami komited, malah bermotivasi untuk menambah lebih bilangan penerima pada masa depan.
Bagaimanapun, bilangan bayi baru lahir yang menghadapi masalah pendengaran terus bertambah setiap tahun di seluruh dunia dan banyak perkara perlu dilakukan untuk membolehkan kami melaksanakan satu transformasi yang akan memberi manfaat dalam kehidupan mereka seumur hidup.
Adakah anda menyasarkan angka 1,500 recipien itu akan bertambah?
Ya, pastinya angka ini akan berubah dan kami melihat pertumbuhannya antara 10 hingga 25 peratus setiap tahun dan kami yakin kadar itu akan tumbuh dengan lebih pantas pada masa depan, kami didapati terdapat banyak pesakit yang berdepan masalah pendengaran dan mengharapkan mereka mendapat manfaat daripada Cochlear.
Pada masa ini kami akan memberi tumpuan kepada kanak-kanak. Selain itu seiring dengan perubahan gaya hidup individu yang mana golongan yang meningkatkan usianya semakin terdedah kepada masalah pendengaran.
Bukan sahaja di rantau Asia Tenggara tetapi di Korea, Jepun, Amerika, United Kingdom, Itali dan Sepanyol. Daripada jumlah warga emas berumur 60 tahun ke atas, suku daripada komuniti itu akan berdepan masalah pendengaran. Jadi permintaan untuk kumpulan ini juga akan terus bertambah.
Malaysia kini menjadi hab ketiga utama di pasaran global, boleh tuan jelaskan tentang pelaburan selama ini?
Kami sangat berbangga dengan pencapaian Malaysia masa kini sebagai hab ketiga utama selepas Australia dan tempat keduanya adalah Amerika Syarikat.
Apabila kami memilih sesebuah negara lain untuk dijadikan hab pengeluaran utama dengan membuat pelaburan yang banyak jadi sebenarnya kami telah membuat perancangan yang rapi lebih awal iaitu sebelum 20 ke 30 tahun, malah kami berkeyakinan pasaran itu terus berdaya saing selain memberi manfaat dan pulangan serta mencatat pertumbuhan positif untuk jangka panjang.

Apakah antara faktor yang mendorong kepada kejayaan tersebut?
Salah satunya adalah sokongan dan insentif yang kami peroleh daripada kerajaan sejak mula bertapak di sini sehingga sekarang, selain lokasi strategik dengan lapangan terbangnya mudah diakses ke serata dunia secara penerbangan terus membolehkan segala pengoperasian perniagaan bekalan lancar.
Ini kerana Kuala Lumpur adalah hab utama kami dalam urusan pembaikan semula peranti selain pengeluaran, jadi setiap peranti yang rosak akan dihantar terus ke Kuala Lumpur daripada semua pasaran kami di seluruh dunia.
Apakah hala tuju syarikat dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang?
Sepertimana yang saya nyatakan tadi, apabila kami tempatkan hab dengan petugas di sesebuah lokasi, kami melihat pelan perancangan untuk jangka masa panjang dengan jumlah pelaburan yang besar seperti mana yang telah kami capai di Malaysia.
Kami berjaya bangunkan fasiliti ini, kami jangkakan untuk tempoh tiga hingga empat tahun akan datang, fasiliti ini akan semakin sibuk dengan pelbagai aktiviti melalui pertambahan volum dalam segmen pengeluaran dan juga pembaikan semula.
Kami kini memiliki 600 pekerja yang mana 100 daripada mereka ditempatkan di bahagian kajian dan pembangunan (R&D) yang mana sebelum ini hanya terdapat kurang daripada 30 pekerja dalam bahagian tersebut.
Malaysia berjaya membangunkan tenaga kerjanya yang berkemahiran, berkualiti dan berdedikasi, sekali gus menyokong menjayakan misi syarikat. -KOSMO! ONLINE















