PUTRAJAYA – Lawatan rasmi dan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke tiga buah negara Afrika bermula esok hingga 24 November dilaporkan akan menggunakan pesawat sewaan khas, Malaysia Airlines.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, turut serta dalam penerbangan itu adalah delegasi rasmi kerajaan dan rombongan perniagaan.
Beliau berkata, turut serta dalam lawatan rasmi itu termasuk Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah Nasional), DRB Hicom Bhd. (DRB Hicom) dan Tenaga Nasional Bhd. (TNB).
“Kos penerbangan dan penginapan bagi delegasi rasmi kerajaan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan, manakala delegasi perniagaan akan menanggung sendiri kos mereka.
“Khidmat pesawat sewaan khas digunakan kerana ia lebih ekonomik berbanding operasi penuh pesawat kerajaan selain menjimatkan masa susulan jadual padat di tiga negara itu tanpa transit panjang.
“Selain itu, langkah itu juga membolehkan delegasi kerajaan dan perniagaan berlepas dapat tiba bersama-sama serta menjamin kehadiran tepat waktu untuk semua mesyuarat dan sesi libat urus,” katanya pada Taklimat Pejabat Perdana Menteri bersama media, di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Tunku Nashrul berkata, delegasi perniagaan yang ikut serta ke lawatan ke tiga negara itu dipilih oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dengan persetujuan Perdana Menteri. – KOSMO! ONLINE















