MELAKA – Pasukan D’lobo Nexus dari Sekolah Kebangsaan (SK) Long Boh, Perlis muncul juara peringkat global cabaran Skytech Global (G-Sky) atau dron pada pertandingan akhir kebangsaan Malaysia Techlympics 2025.
Dalam pertandingan yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada 10 November lalu, D’lobo Nexus yang diwakili Muhammad Eiman Rayyan Adi Yusrin dan Ameer Firash Muhammad Fauzi, masing-masing berusia 12 tahun, menewaskan pasukan antarabangsa termasuk Kemboja dan China.
Kemenangan itu membolehkan pasukan D’lobo Nexus mewakili Malaysia ke pertandingan dron antarabangsa, Pilot X di Hong Kong pada Januari tahun depan.
Guru pembimbing, Nor Heslee Mat berkata, biarpun pelajarnya tidak mempunyai asas pada peringkat awal, namun disebabkan minat yang tinggi kedua-duanya mula belajar mengendalikan dron serta ‘coding’ pada awal tahun ini.
“Sejujurnya sampai hari ini masih rasa seperti mimpi kerana tugasan akhir sangat mencabar dan persaingan pula sengit dengan pasukan yang merupakan juara di negara masing-masing.
“Jika dibandingkan kami ini dari sebuah sekolah kampung di tepi sawah memang terasa kerdil, tetapi usaha tanpa henti mereka, sanggup berlatih walaupun pada hari cuti. Semangat ingin berjaya itulah yang paling berharga,” katanya kepada pemberita hari ini.
Katanya, penganjur turut menyediakan modul asas dan pembelajaran dalam talian bagi membantu peserta memahami penggunaan dron serta cabaran lain dalam Malaysia Techlympics 2025.
Tambahnya, ia membantu para pelajarnya berfikir secara kritis kerana tugasan memerlukan kemahiran mengira jarak, kelajuan dron dan menganalisis strategi dalam tempoh masa ditetapkan.
“Jumlah pelajar di SK Long Boh hanyalah 160 orang dan kebanyakannya anak petani, tetapi potensi mereka sama besar seperti pelajar bandar.
“Cuma kelemahan mereka ialah Bahasa Inggeris, namun selepas berlatih untuk pertandingan ini, saya nampak penguasaan mereka meningkat kerana perlu digunakan dalam ‘coding’,” jelasnya.
Terdahulu, selain G-Sky, SK Long Boh turut bertanding dalam kategori Cabaran Siasatan Jenayah (CSI), Pemikiran Komputasi (EZ Bot) dan Cabaran EZ Rover (FC-1).
Sementara itu, pasukan dari Pahang dinobatkan juara keseluruhan peringkat akhir kebangsaan Malaysia Techlympics 2025 selepas meraih 12 pingat. – KOSMO! ONLINE















