fbpx
ALIFF Iman berjaya memperbaiki catatan masa peribadinya acara 100m pada aksi Grand Final VTF sekali gus menjadi tonik untuk dia beraksi di Sukan SEA Thailand nanti. - SUKAN IPT

Grand final VTF jadi tonik terbaik Aliff ke Sukan SEA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PELARI muda negara, Aliff Iman Mohd Fahimi akhirnya mengakhiri badi selepas dua tahun menunggu detik gemilang apabila mencatat 10.52 saat (s) sekali gus merangkul pingat emas dalam aksi 100 meter lelaki pada saingan Grand Final VTF 2025 kelmarin.

Bagi Aliff, kejayaan itu bukan sekadar melakukan catatan masa baharu, malah ia menjadi simbol bahawa kesungguhan dan konsistensi mampu membuka laluan ke pentas lebih besar.

“Saya gembira dengan pencapaian ini. Ia menjadi tonik terbaik untuk persediaan Sukan SEA dan memberi motivasi untuk terus berlatih lebih keras.

“Sebelum ini, catatan peribadi saya 10.53 saat. Hari ini, saya berjaya memecahkannya. Sudah hampir dua tahun saya mengekalkan masa itu, jadi saya gembira kerana ada peningkatan,” kata Aliff selepas perlumbaan.

Kemenangan itu juga memberikan suntikan semangat tambahan kerana Aliff bakal beraksi dalam acara kuartet 4×100 meter di Sukan SEA Thailand bulan depan.

“Selepas ini, saya akan mengekalkan prestasi untuk persediaan Sukan SEA. Saya akan beraksi dalam acara kuartet 4×100 meter bersama Danish Iftikar, Jonathan Nyepah dan Pengiran Aidil Auf Hajam,” tambahnya.

Selain Aliff, Grand Final VTF 2025 menyaksikan bintang-bintang lain mencipta sejarah apabila B. Ruveshwaran muncul Olahragawan VTF 2025 selepas memecahkan rekod kejohanan dalam acara 10,000m lelaki (32:57.69s), manakala Teo Sze Hui dinobat Olahragawati VTF 2025 dengan emas 5,000m wanita (19:20.10s – rekod kejohanan).

Universiti Putra Malaysia (UPM) pula muncul juara keseluruhan dengan mengumpul 21 emas, 14 perak, dan 6 gangsa, menjadikan jumlah keseluruhan 41 pingat.

Sepanjang saingan berlangsung, lapan rekod kejohanan dipecahkan sekali gus membuktikan tahap persaingan yang tinggi dan kemampuan atlet muda negara berada dalam kelas tersendiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN