fbpx
Mohd. Ridzzuan

14,000 etnik Rohingya huni Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Seramai 14,000 etnik Rohingya dianggarkan berada di Kedah, manakala 522 lagi dalam tahanan di Depot Imigresen Belantik di Sik kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Pengarah Imigresen Kedah, Mohd. Ridzzuan Mohd. Zain berkata, kebanyakan daripada mereka didapati memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Kita membuat profiling dan mendapati etnik Rohingya ini ada di semua daerah dengan kebanyakan mereka ada kad UNHCR.
“Kita kemas kini profiling mereka dan mengikut data, terdapat kira-kira 14,000 etnik Rohingya yang berselerakan di seluruh negeri,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Katanya, operasi terus dilakukan dan mana-mana warga asing yang tidak mempunyai dokumen sah akan ditahan.

Sementara itu, menurutnya, berlaku lebihan kapasiti di Depot Imigresen Belantik di Sik, dekat sini yang kini merekodkan sebanyak 1,432 tahanan.

“Di depot tersebut, kapasiti selesa adalah seramai 950 orang, namun ketika ini terdapat 1,432 tahanan yang bermaksud berlaku lebihan orang.

“Daripada 1,432 tahanan itu, seramai 1,200 adalah warga Myanmar dan selebihnya dari negara lain. Bagi warga Myanmar, kita pecahkan kepada etnik Rohingya dan jumlahnya adalah seramai 522 orang,” ujarnya.

Katanya, tahanan etnik Rohingya melibatkan 305 lelaki dewasa, 65 perempuan dewasa, 79 kanak-kanak lelaki dan 73 kanak-kanak perempuan.

Sementara itu, kata beliau, pihaknya berdepan cabaran untuk melakukan proses penghantaran pulang terhadap etnik Rohingya berikutan isu pengiktirafan mereka sebagai rakyat sah Myanmar.

“Bagi etnik Rohingya, mereka akan berada dalam tahanan untuk satu tempoh yang lama dan ada kes yang mencecah sehingga lapan tahun,” jelasnya.

Tambahnya, kebanyakan etnik Rohingya dipercayai memasuki negara ini menerusi jalan laut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN