TANGKAK – Seorang wanita maut manakala lapan lagi cedera dan terselamat dalam satu kemalangan membabitkan lima buah kenderaan di Jalan Payamas, Taman Sentosa, awal pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 1.58 pagi itu, kemalangan itu melibatkan Perodua Viva, Perodua Myvi, Toyota Hiace, Toyota Vios dan Toyota Hilux.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak, Pegawai Bomba Kanan II Zamri Ayob berkata, pihaknya mengambil masa hampir 22 minit untuk tiba di lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, pasukan operasi mendapati seorang wanita berusia 56 tahun, penumpang Perodua Viva, disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan.
“Dua lagi penumpang Perodua Viva, masing-masing wanita berusia 60 tahun dan lelaki 65 tahun mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Zamri berkata, turut cedera ialah tiga mangsa yang menaiki kereta Perodua Myvi masing-masing seorang wanita 27 tahun, wanita 61 tahun serta seorang remaja lelaki 14 tahun.
Sementara itu, pemandu Toyota Hiace, lelaki berusia 29 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan namun dilaporkan berada dalam keadaan terkejut.
“Pemandu Toyota Vios dan Toyota Hilux masing-masing seorang wanita berusia 55 tahun dan lelaki 33 tahun terselamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya.
Zamri berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan punca kemalangan masih dalam siasatan.-KOSMO! ONLINE














