GEORGE TOWN – Seorang pemuda dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh dari Kilometer 2.8 Jambatan Pulau Pinang dari pulau menghala ke Perai di sini, malam tadi.
Mangsa dipercayai berusia dalam lingkungan 20-an meninggalkan bungkusan plastik berisi pakaian, telefon bimbit dan motosikal jenis Yamaha Y16 di tepi tembok jambatan berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 6.56 petang tadi.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Perai diketuai Penguasa Bomba Kanan l, Rohaizal Abdul Aziz.
“Pasukan dimaklumkan oleh orang awam terdapat seorang mangsa dipercayai terjatuh dari jambatan.
“Sebuah motosikal Yamaha Y15 dan telefon bimbit ditinggalkan di lokasi. Operasi SAR dilaksanakan dan ketika ini pasukan Maritim Malaysia dan Polis Marin telah pergi ke lokasi kejadian,” ujarnya malam tadi.
Setakat ini, identiti mangsa belum dapat dikenal pasti dan maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa. -KOSMO! ONLINE















