WASHINGTON – Panel juri sebuah mahkamah di negeri Carolina Utara memutuskan bahawa pempengaruh TikTok, Brenay Kennard perlu membayar ganti rugi berjumlah AS$1.75 juta (RM7.2 juta) kepada seorang wanita, Akira Montague, lapor saluran berita WKRC.
Ini kerana Brenay didapati merosakkan perkahwinan Akira dengan bekas suaminya.
Hakim memerintahkan Brenay membayar Akira sebanyak AS$1.5 juta (RM6.2 juta) kerana menggugat kasih sayang perkahwinan dan ganti rugi AS$250,000 (RM1 juta) bagi hubungan ranjang dengan pasangan orang lain.
Akira menuduh Brenay mempunyai hubungan sulit dengan suaminya ketika itu, Tim Montague. Pasangan berkenaan kemudian bercerai.
Dia mendakwa bahawa hubungan itu menyebabkan tekanan emosi, menjejaskan kesihatannya dan menghilangkan hak anak-anak mereka untuk membesar dalam sebuah keluarga.
Menurut tuntutannya, Akira menyaman Brenay sebanyak AS$3.5 juta (RM14.4 juta) dalam ganti rugi punitif dan pampasan.
“Dia (Akira) mendapat keadilan selepas kehilangan suaminya dan bapa kepada anak-anaknya,” kata peguam Akira, Robonetta Jones
Carolina Utara adalah salah satu daripada beberapa negeri di AS yang membenarkan seseorang menyaman individu lain kerana hubungan sulit sehingga membawa kepada keruntuhan perkahwinan. – AGENSI















