PETALING JAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar mengucapkan terima kepada Universal Music Malaysia kerana menurunkan muzik video (MV) Dolla dari semua platform rasminya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, ia langkah yang berhemah dan bertanggungjawab serta mencerminkan keikhlasan dan kepekaan pihak industri terhadap suara masyarakat serta nilai yang dipelihara bersama.
“Semoga langkah ini menjadi inspirasi kepada seluruh warga industri hiburan untuk terus berkarya dengan hati yang lebih halus, penuh rasa tanggungjawab dan kasih terhadap masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Universal Music Malaysia semalam menurunkan MV terbaharu Dolla berjudul Question dari YouTube yang mencetuskan perdebatan ramai kerana dikatakan disifatkan terlalu mencolok mata.
Mohd. Na’im berkata, semua pihak memikul amanah untuk membina sebuah ekosistem yang bukan saja subur dengan kreativiti, tetapi dipayungi adab, kesantunan dan rasa hormat.
Menurut beliau, amanah yang dipikul itu selaras dengan aspirasi Malaysia Madani dan Transformasi Al-Falah yang mengangkat keseimbangan antara jiwa seni dan nilai murni.
“Dalam dunia seni, kreativiti adalah denyut nafkahnya dan ia tidak salah, bahkan sangat indah.
“Keindahannya namun lebih bersinar apabila disulam dengan kelembutan budi, nilai ketimuran dan sensitiviti kepada perasaan masyarakat,” katanya. – KOSMO! ONLINE















