TURIN – Jannik Sinner bakal mendapat sokongan padu ribuan penyokong tuan rumah apabila bintang Itali itu sekali lagi menempah pentas akhir Jelajah ATP di Turin, sekali gus mengatur pertarungan blockbuster menentang musuh ketatnya, Carlos Alcaraz, tengah malam ini.
Di hadapan penyokong sendiri, Sinner meneruskan penguasaannya di gelanggang tertutup apabila menyingkirkan Alex de Minaur 7-5, 6-2 untuk mara ke final buat kali ketiga berturut-turut, kemenangan yang turut melanjutkan rekod sempurnanya ke atas pemain Australia itu.
Alcaraz pula memastikan final idaman itu menjadi kenyataan apabila pemain Sepanyol berusia 22 tahun itu mempamerkan aksi meyakinkan untuk menundukkan Felix Auger-Aliassime 6-2, 6-4 dalam aksi separuh akhir.
Pertembungan Sinner–Alcaraz kini menjadi penutup ideal musim yang mereka kuasai sepenuhnya dengan kedua-duanya membahagikan empat gelaran Grand Slam apabila Sinner memenangi Australia dan Wimbledon, sementara Alcaraz menguasai Roland Garros dan Amerika Syarikat.
Meskipun Sinner mara dengan prestasi menggerunkan, Alcaraz sebenarnya menguasai rekod pertemuan mereka kebelakangan ini, memenangi tujuh daripada lapan aksi terakhir untuk mendahului 10-5 secara keseluruhan.
Bagi Sinner, kejayaan mara ke final tiga tahun berturut-turut di bandar kelahirannya sendiri memberi makna yang sangat peribadi.
“Mara ke tiga final berturut-turut di Turin sangat besar buat saya. Suasananya luar biasa, tempat terbaik untuk saya tutup musim yang begitu indah ini. Esok saya akan menikmati perlawanan, cuba beri yang terbaik, tetapi apa pun keputusan, minggu ini memang luar biasa,” katanya.
Dengan kedua-dua pemain paling dominan kembali bertembung, Turin kini bersiap sedia menyaksikan final yang dijangka menjadi klimaks sempurna kepada persaingan paling menarik dalam tenis lelaki moden. – AGENSI















